Saturday, 28 May 2016

Mencari hobi

Aku mencari hobi. Hobi yang terbaik untuk aku selain membaca, menulis dan blogging. Sesungguhnya aku mencari hobi bagi menyenangkan hatiku sendiri. Lagi pula, aku ingin mencari kepelbagaian dalam kehidupan aku ini.

Mungkin bagi sesetengah orang akan menganggap aku melakukan kerja yang sia-sia. Tetapi sesungguhnya, mereka tidak berada di tempatku. Aku tidak ingin kebosanan membelenggu diriku. Aku hanya ingin menyibukkan diriku dengan beraktiviti.

Sebenarnya aku tidak suka statik dalam kehidupan. Aku tidak suka akan sesuatu yang dipanggil rutin. Hal ini disebabkan aku cepat berasa bosan dan terkadang terkeliru dengan apa yang sebenarnya ingin kucari dalam kehidupanku ini.

Ramai yang melabelkan aku ini seorang pemimpi. Ya, aku suka bermimpi. Ia adalah sesuatu yang percuma. Tiada bayarannya. Tapi, kadangkala sepi tetap juga ingin menjentik pintu hati lalu hari-hari yang dilalui terasa sunyi.

Harapanku cuma satu. Mendapat sebanyak mungkin hobi agar aku terus dapat bermimpi...


Saya nak jadi jutawan

Saya nak jadi jutawan. Sebab saya nak jadi jutawan? Saya nak jadi jutawan sebab saya nak ada kewangan tanpa had. Ya, kewangan tanpa had yang membolehkan saya membeli dan memiliki apa sahaja yang saya inginkan. Di samping itu, saya boleh menolong orang dengan membantu mereka yang kesusahan. Tiada wang, orang tak pandang kita sebelah mata pun. Penat la hidup asyik meminta-minta. Orang pun lama-lama boleh bosan melayan sikap mengharap kita yang keterlaluan justeru menimbulkan ketidakikhlasan dalam menyumbang kewangan. Lagipun, selagi kudrat masih bersisa apa salahnya kita terus mencuba dan berusaha. Kalau ada orang yang bertanya bagaimana cara saya mahu memastikan saya dapat menjadi jutawan sepertimana yang saya cita-citakan? Sebenarnya saya sendiri tidak menetapkan lagi jalan. Masih kabur-kabur dalam mencari lubuk kewangan sepertimana yang saya inginkan. Apa yang saya tahu? Saya cuma nak jadi jutawan. Jutawan yang dermawan dan budiman. Kaya di dunia dan akhirat. Tanpa memiliki apa-apa kerungsingan. Mesti akan ada yang mengatakan saya cuba berangan. Saya seperti mat jenin. Katakanlah. Beritahulah apa sahaja. Saya tetap ingin menetapkan cita-cita sebagai jutawan. Kalau bukan hari ini, mungkin esok. Kalau bukan esok, mungkin lusa. Apa yang saya tahu, saya percaya saya akan menjadi seorang jutawan. Seorang jutawan, hartawan, budiman dan dermawan. Seronoknya hati saya meskipun hanya dengan membayangkan diri menjadi jutawan. Hati berbunga-bunga. Sama-samalah kita berdoa kita semua menjadi jutawan.

Skop dalam alam pekerjaan

1.      Agriculture, food, and natural resources

2.      Architecture and construction

3.      Art, audio/video technology and communication

4.      Business management and administration

5.      Education and training

6.      Finance

7.      Government and public administration

8.      Health science

9.      Hospitality and tourism

10.  Human services

11.  Information technology

12.  Law, public safety corrections and security

13.  Manufacturing

14.  Marketing, sales and service

15.  Science, technology, engineering and mathematics


16.  Transportation, distribution and logistics

Sejuta Impian Nabilah

Sejuta impian Nabilah? Mereka yang mengenali aku sudah semestinya akan melabelkan aku sebagai seorang yang terlalu bercita-cita tinggi, ego dan tidak berpijak di dunia realiti.

Sebenarnya aku malu untuk mengakui. Kegilaan aku untuk mencari kesempurnaan akhirnya memakan diri sendiri. Ya, aku hanya pandai merancang dan berpeluk tubuh tetapi mengharapkan impian demi impian terjadi dengan sendirinya. Betapa dangkalnya aku dalam sesuatu yang bernama kehidupan.


Semoga aku realistik dalam kehidupan. Semoga aku kembali berpaksi pada jalan yang benar. Kerana kehidupan di dunia yang sementara ini adalah ujian. Impian sebenar ialah bahagia dan berjaya di akhirat sana. Ya, itulah impian hakiki setiap insan bernama manusia. Yang lainnya hanyalah alur-alur atau denai bagi merealisasikan impian yang sebenar ini. Semoga aku tidak terus bermimpi.

Kematian itu pasti

Bukan aku ingin merungut. Jauh sekali untuk meminta simpati. Aku cuma ingin menyatakan rasa hati. Ya, rasa hati yang kian hari makin mencengkam. Aku buntu. Terasa semangatku telah menghilang. Terasa terlalu jauh. Aku cuma ingin bangkit. Kembali kuat tentunya.

Aku tidak pasti bila ajal akan menjemputku. Aku juga tidak pasti bagaimana cara aku bakal dijemput olehNYA. Cuma kini, keadaan kesihatanku semakin lama semakin merosot. Aku tahu kesakitan adalah penghapus dosa. Aku tahu aku seharusnya redha dan bersabar kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya. Namun, aku hanya seorang manusia yang terlalu nipis imannya.


Andai kematian menjemputku tidak lama lagi, aku cuma mengharapkan agar kematianku itu tidak mengundang kesedihan kepada sesiapa. Aku mengharapkan tiada yang merintih. Aku ingin tenang. Aku juga berharap, ibubapaku dalam keadaan yang sejahtera walaupun aku telah tiada…

Antropologi

Revolusi perindustrian di Eropah merupakan pencetus kepada wujudnya bidang antropologi dan sosiologi.

Konsep asas ialah ruang lingkup disiplin antropologi sosial dan budaya iaitu dengan memfokuskan sejarah dan ruang lingkup antropologi dan kaitannya dengan ilmu sains sosial yang lain terutamanya sosiologi budaya dan masyarakat serta kepelbagaian manusia.

Ini merangkumi institusi dan organisasi sosial, misalnya kekerabatan dan persanakan, keluarga dan perkahwinan. Selain itu, politik dan kekuasaan, organisasi pengeluaran dan pengagihan, agama dan kepercayaan, ketaksamaan sosial, pembangunan dan perubahan sosial serta kedudukan antropologi dalam masyarakat kontemporari turut termasuk dalam bidang ini.


Hal ini merupakan perintis kepada kajian antropologi di Malaysia.

Wednesday, 25 May 2016

Resepi Kek Batik Ringkas



sebenarnya dah lama sangat dah mengidam nak makan kek batik ni. setelah mood rajin datang maka buat larr kek batik nih dan tentunya resepi termudah jadi pilihan. huhuhu...


bahan-bahan yang diperlukan:

250g majerin
1/2 tin susu
2 cawan milo
1 paket biskut marie


cara membuatnya

panaskan majerin. bila majerin dah cair, masukkan susu. lepas tu milo. kacau semua sampai sebati. jangan bagi berketul ok? lepas tu, tutup api dan gaulkan biskut marie tu ke dalam adunan tadi. biskut tu kasi patah-patah kan 2 ke, 4 ke, tu ikut selera masing-masing. dah tu, ratakan dalam loyang. lapik dengan plastik. injak-injak bagi padat satu loyang. ikut resepi asal kena masukkan dalam peti sekurangnya 4 jam. tapi, tak sampai 2 jam dah kena bantai kek tu oleh adik bongsu ~


Pelajar Positif

Pelajar Positif

§  Bersemangat
§  Senyum
§  Matlamat ditulis
§  Ada perancangan
§  Yakin pada diri sendiri
§  Minda bercambah
§  Bijak lihat peluang
§  Analisis diri
§  Punya pengetahuan
§  Beri semangat pada orang lain

Rukun Iman dan Rukun Islam

Rukun Iman
ü  Beriman kepada Allah
ü  Beriman kepada Malaikat – MalaikatNya
ü  Beriman kepada Kitab – KitabNya
ü  Beriman kepada RasulNya
ü  Percaya kepada Hari Kiamat
ü  Percaya kepada Qadha dan Qadar

Rukun Islam
ü  Mengucap Dua Kalimah Syahadah
ü  Menunaikan Solat Lima Waktu
ü  Berpuasa di Bulan Ramadhan
ü  Menunaikan Zakat

ü  Mengerjakan Haji bagi yang mampu


Rujukan:
Abu Humaira. 1993. Bimbingan Lengkap Fardhu  Ain. Kuala Lumpur: Darul Nu’man.

Dato’ Dr. Haron Din. 2007. ISLAM: Ibadah Pembina Tamadun Manusia. Kuala Lumpur: PTS Millennia Sdn.Bhd.

Saturday, 21 May 2016

Aku perempuan akhir zaman

Siapa aku tidak penting. Apa yang pasti, aku perempuan akhir zaman…

Kalian tidak mengerti, apatah lagi ingin bersimpati. Aku hanya mampu menangis sendirian. Hatiku ternyata rapuh dalam melalui liku kehidupan. Aku tidak sekuat yang disangkakan. Walaupun aku sering berangan untuk menjadi sebaik-baik wanita seperti Siti Khadijah, Fatimah, Aisyah, Asiah dan ramai lagi…

Tapi sesungguhnya aku tidak mampu.

Aku hanya pandai mengeluh. Aku hanya pandai meratapi nasib sendiri. Aku tidak pernah ingin bersyukur dengan apa yang kumiliki. Akulah perempuan akhir zaman.

Sering sahaja aku menyalahkan takdir atas apa yang terjadi. Padahal aku lupa, ia adalah pilihan aku sendiri. Menjadi perempuan akhir zaman tidak bermasalah sekiranya aku pandai menjaga diri sendiri. Tetapi, aku tidak mampu. Aku ternyata senang sekali terpesona dan tergoda dengan segala nikmat dunia yang sementara. Betapa bodohnya aku dalam menjalani kehidupan, sedangkan aku tahu dunia ini satu ujian. Cuma satu persinggahan semata-mata.

Aku ingin menjadi perempuan akhir zaman yang berguna. Aku mengimpikan tempat yang selayaknya bagi perempuan yang baik meskipun aku tidak layak walaupun hanya untuk bermimpi.

Aku ingin berubah. Menjadi yang lebih baik. Menjadi seorang perempuan solehah sepertimana perempuan lain.

Namun, sering sahaja alasan bercambah di otak dangkalku. Betapa susahnya menjadi manusia baik.

Doakan aku tabah dalam menjalani kehidupanku…

Sunday, 15 May 2016

Selamat Hari Guru



Selamat hari guru buat semua yang bergelar pendidik. Tanpa guru, siapalah murid...

Sunday, 8 May 2016

Selamat Hari Lahir Ke-25

Sedar tak sedar, umur dah berginjak ke suku abad pada hari ni. Nak mengeluh? Nak berkeluh kesah? Macam tiada guna juga berbuat demikian. Tapi, bila memikirkan mengenai pencapaian, terus terang aku cakap bahawa tiada pencapaian yang begitu membanggakan aku ada. Mungkin bagi orang lain yang seangkatan dengan aku, telah banyak pencapaian yang boleh mereka banggakan. Sekurangnya ada perkara yang boleh diungkapkan saat mata bersua. Namun, bagi aku hanya kelu lidah tak bertulang. Sesungguhnya aku malu. Kalau ikut perancangan zaman muda-muda, aku ingin mendirikan rumahtangga saat ini. Ingin bersuamikan seorang lelaki yang boleh membimbing aku dunia dan akhirat. Tetapi apakan daya, hanya penantian yang menyeksakan yang aku perolehi. Tiada kata, cuma duka. Adakah aku terlalu memilih? Atau disebabkan oleh aku tidak memiliki personaliti yang sepatutnya untuk menjadi zaujah seseorang? Ahh…mudah untuk menuturkan kata. Namun untuk berbuat sepertimana yang dikatakan itu terlalu payah dan sulit serta perlukan pengorbanan. Seperti mana bak kata pepatah inggeris ‘no pain, no gain’.

    Kalau ada yang bertanya, apakah hadiah hari lahir yang kuinginkan? Cukup sebuah penghargaan. Cukup dengan rasa dikasihi dan disayangi. Itu sahaja. Mungkin akan ada yang mengatakan bahawa aku bukan menipu orang lain, tetapi menipu diri sendiri. Semestinya ada sesuatu yang aku dambakan. Yang aku inginkan. Yaitu benar. Namun untuk mengharapkan ada seseorang merealisasikan apa yang aku dambakan adalah suatu yang menyakitkan. Kini dan pada saat ini, aku hanya ingin memulakan hidup baru iaitu ‘move on’ daripada sebarang kisah silam yang lampau kerana terlalu banyak kenangan yang menyakitkan. Maafkan aku andai ada yang terguris. Bukan maksudku untuk meninggalkan segalanya begitu sahaja. Namun, kemanisan dalam kenangan lalu tidak mampu mengubat luka di hatiku. Seharusnya aku bergembira di ulang tahun kelahiranku. Tetapi, apa sahaja yang terlintas di benak fikiranku yang menyebabkan aku berfikir dan berfikir. Aku ingin pergi. Aku ingin pergi jauh daripada segala kegelisahan dan kebimbangan. Cukup sahaja. Cukup sahaja dengan semua yang pernah berlaku. Doakan kebahagiaan aku di dunia dan akhirat. Jangan lupa menghadiahkan aku sebuah doa pada ulang tahun kelahiranku yang ke-25 dan seterusnya…semoga bahagia milik kita bersama.