Wednesday, 22 June 2016

Adat dan budaya

Harus dinyatakan secara jelas bahawa adat dan budaya antara sesuatu masyarakat terdapat titik persamaan yang menyatukan. Samada secara sedar mahupun tidak oleh kita semua.

Disebabkan oleh faktor kemodenan, adat dan budaya setempat yang dikekalkan oleh sesuatu masyarakat mula beralih arah. Hal ini kerana kelompok masyarakat cuba menyesuaikan adat dan budaya yang dipegang selama ini dengan keadaan semasa. Semua ini berlaku secara menyeluruh melalui proses sosialisasi sebagai agen perubahan.

Terdapat pro dan kontrasnya apabila sesuatu adat dan budaya tradisional dicampur adukkan atas dasar kemodenan. Kemodenan kadangkala hampir melenyapkan keunikkan yang menjadi amalan yang selama ini cuba dikekalkan oleh golongan terdahulu. Ramai antara kita tidak mengambil peduli dalam hal ini kerana beranggapan bahawa titik persamaan lebih perlu ditonjolkan bagi menggambarkan sikap terbuka yang diamalkan dalam sesuatu masyarakat. Selain itu, dengan menonjolkan persamaan, hal ini memudahkan kerjasama antara masyarakat yang berbeza apabila berlaku pertembungan budaya.

Walau bagaimanapun, perlu diingatkan di sini bahawa setiap amalan yang diamalkan dalam sesuatu masyarakat mempunyai maksud tersendiri samada secara tersurat mahupun tersirat. Oleh itu, mempertahankan adat dan budaya tradisi merupakan satu kewajaran yang perlu tersemat dalam diri anak muda pada masa kini khasnya. Hal ini kerana ia membawa lambang dan identiti sesuatu masyarakat. Identiti yang tidak jelas mengakibatkan masyarakat yang kurang dominan cenderung mengambil identiti lain iaitu identiti masyarakat yang lebih dominan. Bukankah ini suatu kerugian yang besar?


Akhir sekali, mengekalkan tradisi merupakan perkara yang sukar. Namun, perlu diingatkan bahawa perkara yang sukar sebenarnya akan mendatangkan kebaikan, bukan sahaja dari sudut moral malah juga material jika digunakan dengan baik. Semoga budaya yang diamalkan sepertimana kata-kata orang terdahulu, “biar mati anak, jangan mati adat”.

No comments:

Post a Comment